June 16, 2008...7:35 pm

Korea Selatan dan Mogok

Jump to Comments

Dalam seminggu yang lepas, warga dunia amnya, dan warga Korea Selatan khasnya dikejutkan dengan tawaran perletakan jawatan oleh seluruh kabinet negara itu berikutan protes sejak beberapa minggu lalu terhadaprancangan untuk membuka semula pasaran kepada import daging lembu Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Han Seung-soo dan menteri lain menyerahkan surat peletakan jawatan mereka kepada Presiden Lee Myung-bak.Manakala, lapan setiausaha kanan Presiden telah pun menyerahkan surat peletakan jawatan seminggu sebelum itu sebagai mengambil tanggungjawab terhadap isu daging lembu itu.

Seoul pada April lalu bersetuju menarik balik hampir semua sekatan kuarantin yang dikenakan ke atas daging import AS kerana kebimbangan mengenai penyakit lembu gila.

Keputusan itu mencetuskan protes berminggu-minggu daripada rakyat yang menganggap kerajaan kurang prihatin dalam menjaga keselamatan mereka.

Protes yang dilancarkan hampir setiap hari sejak sebulan lalu menuntut kerajaan membatalkan atau merundingkan semula perjanjian import daging lembu dengan AS. (petikan dari Utusan Online)

Korea Selatan dan Mogok

Tak menjadi perkara yang mengejutkan apabila kita mendengar berlakunya mogok dan demonstrasi besar-besaran di Korea Selatan. Saya sekadar tersenyum apabila mendapat berita bahawa masyarakat Korea keluar beramai-ramai menjangkaui angka 400 000 orang, lantas  saya membandingkan saiz ‘crowd’ perhimpunan 100 000 menuntut Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) tempoh hari di Malaysia, perbezaan 4 kali ganda. Menggabungkan dari sekecil kanak-kanak,mahasiswa, pelajar, kesatuan sekerja, mubaligh agama, sami-sami dan seluruh lapisan bangsa Korea bersatu dalam menuntut hak dan menzahirkan protes kepada kerajaan. Mereka menyanyi, menari, menyalakan lilin selama 40 hari di pusat Bandar Seoul.

Orang Korea merupakan bangsa yang sangat agresif dalam segala perkara termasuk bekerja, berniaga, berurusan dan melaksanakan tugas. Keagresifan ini juga dapat dilihat apabila bangsa ini berpencak di dalam politik serta mendepani isu-isu sosial dan hak asasi.

Kesatuan sekerja yang vocal dan kuat dalam memperjuangkan hak masing-masing merupakan rahsia kepada pembangunan Korea Selatan itu sendiri. Mereka merupakan kumpulan pendesak (interest group) yang sangat berpengaruh dalam mendepani isu-isu berkaitan. Mereka bergabung dan berani mengkritik apa yang difikirkan salah pada tanggapan mereka, secara tidak langsung ia mempengaruhi suasana kelakuan masyarakat Korea itu sendiri.

Sesuatu yang perlu diambil contoh daripada bangsa Korea ialah bagaimana mereka membina suatu ‘mind-setting’ bahawa keagresifan yang ditonjolkan bukan pembawaan kosong atau sekadar bertunjangkan emosi semata-mata. Di sebalik mogok, tunjuk perasaan dan pelbagai lagi tindakan agresif, masyarakat Korea merupakan golongan pekerja yang rajin, tekun,jimat-cermat, bersedia untuk belajar, optimis dan setia pada syarikat.

Kerja Kuat Bangsa Korea

Teringat saya kepada seorang hartawan terkenal dan merupakan antara generasi pembangun Korea Selatan, Kim Woo Chong dalam buku beliau bertajuk Every Street Paved With Gold bercerita bagaimana beliau bekerja tanpa henti demi untuk membangunkan perniagaan. Beliau bersedia untuk menyahut segala cabaran dan merupakan orang yang dapat menukarkan masalah menjadi peluang serta keuntungan.Orang kuat dan pengasas konglomerat DAEWOO ini juga pernah berkata,

“Saya sememangnya ketagihan bekerja (workaholic) dan kita sebagai Asia perlu bekerja berpuluh kali ganda lebih laju jika ingin menyaingi Barat”.

Kata-kata yang bermain dalam minda saya apabila melihat gerak kerja kawan-kawan Chinese di fakulti. Tahniah kepada anda. Seluruh Malaysia wajar mencontohi.

Selain itu,masyarakat Korea mengambil kira segala hak dan batasan mereka sepenuhnya. Sememangnya bangsa dunia seperti Korea, Jepun malah Cina ialah antara bangsa yang ‘sanggup mati’ untuk syarikat. Tak hairanlah bagaimana karya Sun Tzu; Art of War diadaptasi dalam meningkatkan status dan pencapaian perniagaan. Menyamakan peperangan dengan medan bisnes.Para pekerja bertungkus-lumus dalam meningkatkan produktiviti syarikat dalam masa yang sama, memohon supaya hak-hak mereka dipenuhi. Maka wujud keseimbangan di sini.

Jenama-jenama terkenal seperti Hyundai, Samsung, Daewoo, Ssang Yong, LG malah perbagai lagi syarikat korporat bertaraf dunia milik Korea Selatan menghiasi iklan-iklan industri berat dunia. Kemunculan Korea Selatan sebagai kuasa besar ekonomi cukup mengejutkan banyak pihak. Agak pelik bagi negara lain apabila Korea Selatan yang pernah dianggap sebagai ‘orang sakit Asia’dan merupakan sebuah negara yang lemah, boleh berjaya menjadi sebuah negara yang kukuh dari segi ekonomi dan kewangan. Pada ketika negara lain berkonfrantasi dengan situasi ekonomi yang tidak stabil dan kemelut kewangan yang melanda Asia pada tahun 1997, Korea Selatan berjaya keluar daripada krisis tersebut. Malah, Korea Selatan berjaya melunaskan segala kreditnya kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan lebih awal di antara negara yang berjaya. Dan kini, Korea Selatan dapat berdiri teguh dalam persaingan ekonomi. Dalam gelanggang ekonomi dunia, Korea Selatan dilihat oleh para penganalisis ekonomi sebagai ‘naga kecil’ yang semakin menggugat kedudukan Jepun sebagai kuasa besar ekonomi dan mula mengambil alih peranan di Asia, disamping persaingannya dengan China dan negara-negara Indochina yang lain.

Mogok dan tunjuk perasaan yang dilakukan oleh masyarakat termasuk golongan pekerja di Korea Selatan sama sekali tidak menggugat kelangsungan perkembangan ekonomi negara tersebut. Krisis politik mahupun tunjuk perasaan seperti yang berlaku baru-baru ini tidak menjejaskan langsung mood pelabur dan terus dengan peningkatan pesat pelaburan langsung asing (FDI) negara dari seluruh dunia.

Cabaran Malaysia

Saya sendiri merenung Malaysia dalam mendepani cabaran-cabaran ekonomi yang mendatang. Di mana Malaysia dalam kumpulan ‘naga-naga’ ekonomi dunia? Malaysia dilihat perlu lebih bergerak pantas dalam melahirkan teknokrat dan pemimpin-pemimpin ekonomi. Pengukuhan ‘best practices’dari aspek nilai, kualiti dan gerak kerja ekonomi. Selain itu, ekonomi dapat dirancakkan dengan mempelbagaikan aktiviti pemasaran baik ke dalam atau ke luar titik. Ia boleh disambut dengan kegiatan huluan (upstream activities) atau hiliran (downstream activities) disamping penekanan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang menjadi tunjang malah ‘backup’ kepada pendapatan negara.

3 Comments

  • p/s- bercakap tntang korea, jgn lupa pada sahabat kita sdr faruqi(YDP Angkatan Kejuruteraan Islam Universiti Malaya (AKIUM)) dan sdr syafiq yg kini di korea sbagai peserta dalam korea-malaysia student exchange program..Anyway,good luck. bawa wajah Malaysia, bawa wajah UM..

  • Assalamualaikum Sdr. Ahmad Fahmie.

    Saya nak minta izin ambil post ini untuk diletakkan dlm kampusnegara.net.

    http://zainulfaqar.wordpress.com

  • Waalaikumsalam

    Apa khabar Abg Zainulfaqar? Trima kasih sbb sudi menjenguk blog ini.
    Boleh saja nak ambil post ini, cuma minta letakkan nama saya di akhir post.ya

    Ahmad Fahmi b. Mohd Salleh
    Bendahari Agung
    Persatuan Ekonomi Universiti Malaya (PEKUMA)Sesi 2008/2009
    ahmadfahmie.wordpress.com


Leave a Reply