December 29, 2007...5:18 am

Belajarlah Mengkritik

Jump to Comments

43060641_b3494810a61.jpg

         Semester pertama saya di Universiti Malaya tamat sudah. Banyak pengalaman yang ditimba. Pemikiran saya semakin matang dan terbuka. Keterbukaan itu didorong oleh pelbagai perkara di kampus. Masalah di fakulti,di kolej, malah pelbagai ragam manusia dijumpai. Pentadbiran universitinya, pengetuanya, malah tak terlepas soal politik di kampus. Banyak perkara juga yang boleh disimpulkan dari mata saya sebagai seorang mahasiswa muda.

Dalam mengharungi semester pertama yang penuh cabaran, saya tak terlepas untuk menganalisa perangai dan hati budi mahasiswa disekeliling saya.Tak kira batas umur dan jantina, saya melihat sedikit kekurangan kepada mahasiswa kita di Malaysia. Mereka ini kurang mengkritik.

KENAPA PERLU MENGKRITIK?

Secara teorinya, mengkritik itu suatu perkara yang lumrah. Hatta malaikat yang dijadikan Allah menurut segala perintahNya juga pernah mengkritik takkala Allah mencipta makhluk bernama manusia. Namun Allah membalas dengan menyatakan bahawa Dia lebih mengetahui.  Tetapi yang menjadi isu sekarang ialah kenapa kita perlu menjadi pengkritik? Lebih-lebih lagi sebagai mahasiswa.

Bila melihat keadaan mahasiswa yang terlampau ‘ulat buku akademik’ tanpa memikirkan soal luar daripada tajuk-tajuk yang dipelajari di dewan kuliah dan bilik tutorial, saya amat bimbang dengan keadaan Malaysia suatu hari nanti. Sindrom ‘ulat buku akademik’ saya simpulkan sebagai mahasiswa atau pelajar yang hanya mempelajari sesuatu tanpa mengaitkannya dengan dunia dan masalah di luar, malah belajar dengan kaedah menghafal bukan memahami. Jika sindrom ini berleluasa, segala usaha kerajaan dalam menyediakan pelbagai prasarana dan suasana kampus yang kondusif akan sia-sia kerana graduan yang dilahirkan mempunyai minda yang tidak mencapah, tidak berfikiran terbuka malah cetek idea dan pengusaan isu semasa. Jika graduan yang sebegini dilahirkan oleh universiti, dijangkakan pasaran kerja diluar akan dipenuhi dengan manusia-manusia yang bakal menghancurkan negara!

 Lepasan graduan sebegini tidak mampu untuk menghasilkan hasil kerja yang mantap dan kreatif, malah tidak mampu untuk merancang perjalanan sesuatu organisasi dengan baik dan melihat jauh ke hadapan. Dalam konteks kepimpinan pula, seorang pemimpin yang tidak selalu mengikuti isu-isu semasa dan kurang pembacaannya,maka segala keputusan yang diambil selalu bersifat tidak matang dan kurang mengabil kira kesan sampingan. Pertimbangan pemimpin sebegini teragak-agak dan tidak mampu melihat secara menyeluruh permasalahan yang berlaku kepada masyarakat.

Budaya mengkritik dapat melahirkan seseorang yang tegas, tetap pendirian, yakin dan mampu melihat sesuatu perkara itu dari perspektif yang luas. Pemikirannya akan lebih tertumpu kepada perkara yang dikritik dan akan menjana kepada pencambahan idea dan maklumat tentang perkara tersebut.

BUDAYA MENGKRITIK DAN MAHASISWA

Bila bercakap tentang kritikan, banyak yang mengaitkannya dengan emosional. Banyak juga yang menghubungkan kritikan dengan kurang ajar dan tidak bersopan. Sebanarnya, itu persepsi orang yang berfikiran negatif. Mereka tidak matang dalam menghukum sesuatu dan terlalu jumud dalam berfikir. Bagi saya, mengkritik akan terus relevan jika tidak disertakan dengan perasaan marah. Mengkritik jenis ini ialah mengkritik yang membina atau mengkritik yang terpelajar.Mengkritik tidak akan terlalu emosional dan nampak ‘bodoh’ jika si pengkritik membawa bersama fakta-fakta dan hujah-hujah bernas.

Dalam soal mahasiswa, saya melihat budaya mengkritik amat kurang. Rata-rata mahasiswa kita di Malaysia lebih suka bersikap angguk-angguk geleng-geleng. Mereka lebih selesa membaca buku dari pagi hingga ke petang, menghafal bab demi bab dari mukasurat awal hingga mukasurat akhir tanpa mempedulikan tentang isu-isu yang hangat dibincangkan oleh masyarakat disekeliling. Minda mahasiswa yang seperti ini tidak berkembang lantas tidak mampu untuk mengkritik dan memberi pandangan terhadap sesuatu isu. Idea-idea yang berlari-lari di dalam kotak fikiran mereka hanya terhad di dalam kuliah dan di bilik-bilik tutorial sahaja. Mereka tak mampu untuk bercakap tentang isu-isu di kampus seperti Stupit Debate di Universiti Malaya, isu pinjaman PTPTN yang dikatakan membebankan mahasiswa malah jika yuran kolej meningkat pun, mereka akan bersikap tidak ambil tahu dan sekadar redha dengan ketentuan Ilahi.

Bukan isu–isu dalam kampus sahaja, malah isu bualan mansyarakat luar pun tak mampu diambil tahu. Berapa ramai mahasiswa dan muda-mudi kita yang membuka lembaran akhbar lalu tercari-cari isu-isu ‘heavy’ seperti kes berprofil tinggi pembunuhan Altantuya, isu klip video yang menggugat system kehakiman Malaysia malah isu-isu ekonomi seperti pro dan kontranya Free Trade Agreement (FTA) ,kenaikkan tol bagi sesi 2008-2010 malah isu bangsa sendiri contohnya yang hangat diperkatakan sekarang, isu tuduhan ‘kemandulan’ minda kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan dakwaan ‘Ethnic Cleansing’ di Malaysia oleh Hindu Right Action Front (HINDRAF). Berapa ramai yang akan membeliakkan mata mengamati isu-isu sebegini berbanding gosip hangat mengutuk artis itu ini?

Budaya pasif inilah yang kita harus atasi. Mengkritik bukan untuk mencari kesalahan, tapi sekadar ingin memberi idea dan mengulas serba sedikit tentang sesuatu isu berdasarkan pertimbangan sendiri. Jika seseorang itu gagal untuk merngatakan sesuatu tentang sesuatu isu semasa, dia mungkin cetek pembacaannya dan kurang pengetahuan dalam sesuatu perkara. Sebagai mahasiswa, mereka ini perlu lebih aktif dan mengetahui hal semasa. Mengkritik sebagai suatu usaha dalam menambah ilmu dan mencari pengalaman. Bak kata pepatah Inggeris, Jack of all trades, master of none,maksudnya kita perlu ambil tahu tentang  sesuatu perkara walaupun kita tidak dapat menguasainya secara meluas. Sekadar TAHU, dan yang paling penting JANGAN BUAT-BUAT TAHU.

APA PUNCANYA?

Ada dua punca yang ketara yang menyebabkan mahasiswa kita di Malaysia kurang mengkritik. Yang pertamanya, mahasiswa khasnya dan remaja amnya telah dilanda dengan gejala hedonism. Program bicara berbentuk intelek kurang mendapat sambutan tetapi program berbentuk hiburan sememangnya ada penonton setia. Gejala ini akan membahayakan muda-mudi di Malaysia disebabkan pengaruh muzik dan hedonism ini bukan sahaja menjauhkan mereka diri jati diri sebenar sebagai rakyat Malaysia malah jati diri mereka sebagai ‘rakyat’ Allah turut terhakis.Tidak hairanlah kita dikejutkan dengan ramai yang melepaskan status ‘warganegara’ Allah apabila melihat kepada statistik jumlah murtad di negara ini. Selain itu, budaya ini akan melahirkan mahasiswa yang tidak matang dan hanya tahu berseronok. Pemikiran mereka sempit dan tidak dapat melihat sesuatu perkara dalam perspektif yang lebih luas.

Punca yang kedua ialah mahasiswa kita sekarang berada dalam keadaan ‘zon selesa’ atau ‘complacent zone’. Zon ini menyebabkan mahasiswa kita kaku dan kurang lancar perjalanan darahnya ke otak. Kurang berfikir. Semua jadi sejuk. Semua nak masuk dalam selimut, tidur dan melupakan masalah bangsa, negara dan agama sendiri. Ini hakikat mahasiswa sekarang. Sindrom ini dianuti oleh ramai mahasiswa di university terutamanya MELAYU. Mungkin dengan dana PTPTN yang tak seberapa, mereka berasa hidup mereka sedikit senang dan tak payah untuk memikirkan masalah di sekeliling yang tak berkenaan dengan mereka pun.

BAGAIMANA MENGKRITIK DENGAN BETUL?

Seperti yang diperkatakan diawal tadi, mengkritik tak akan nampak ‘emosional’ dan `bodoh’ kalau betul pada tempatnya, kena dengan sebabnya, dan disertakan dengan hujah-hujah bernas yang sememang logik dan dapat diterima. Sebelum mengkritik, perlulah ada maklumat yang lengkap tentang sesuatu. Barulah idea kita akan mencapah dan dapat melihat sesuatu idea tersebut dari sudut yang luas. Mungkin kita sebagai pengkritik tidak melihat apa yang dilihat oleh seseorang yang memberi idea,dan mungkin juga sebaliknya. Jadi disini, sikap terbuka itu penting dalam melahirkan suatu idea yang lebih bernas.

Dan disinilah peranan pengkritik, si ketua dikritik orang bawahannya, si TNC dikritik mahasiswanya, si pemerintah dikritik rakyatnya malah si ayah dikritik anaknya. Semuanya untuk kebaikan bersama.

Wallahualam…. Allah lebih Mengetahui…

1 Comment

  • btl tue puncanya yang mudamudi kita sekarang ni berada di zon selesa. rancangan yang berunsur intelektual pun jarang yang ambil tau. lagi2 nak baca paper. sbb tula rating penjualan akhbar melayu rendah berbanding akhbar lain. baca pun bahagian hiburan.klu tak, knpa akhbar bhs jawi pun bleh pupus,,,. skarang je utusan yang ambil langkah proaktif keluarkan edisi khas jawi stiap minggu. tak tau ade lagi tak.(da lama tak baca). sy rasa, pgalaman sy duduk di kampus kurang menarik.sbb, sy rasa mcm tak tau apapun yang berlaku di luar.malu sungguh.mcm bukan budak u saja.duduk sembang kat bawah kolej dgn kawan2.agak bosan, sbb balik2 isu yang sama(berbual kosong).nak dikatakan pasal isu semasa rasanya 0.01% agaknya.sbb tu kebnyakan mahasiswa lbh suka jd ulat buku. mereka rase terbeban dgn pelajaran. ibu ayah asyik tanya result. fikir masa depan nak byar hutang ptptn..sbb tak ramai yang blatarbelakang keluarga senang. yang paling utama kekurangan budaya menkritik pun sbb tak ada benda nak di kritik. sbb,,, kurangnya ilmu pengetahuan tentang hal luar dan isu semasa.jadi? ape yang hendak dikritik?mengumpatla jwbnye..hm…:)


Leave a Reply